CYBERJAYA: Ibu bapa tidak boleh berputus asas dalam memberi motivasi dan galakan kepada anak masing-masing untuk berjaya dalam pelajaran, kata Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Beliau berkata pendidikan anak-anak merupakan pelaburan paling berharga yang pastinya memberikan masa depan cerah kepada pelajar, keluarga dan masyarakat serta dalam usaha membangunkan negara.
"Arwah bapa sering bagi saya semangat untuk berjaya dalam pelajaran walaupun ketika zaman saya itu, golongan wanita jarang diberikan peluang sedemikian.
"Ini kerana arwah berpendapat bahawa jika diberi pendidikan kepada seorang anak lelaki, bermakna mendidik seorang individu saja.
"Tetapi sekiranya diberi pendidikan untuk seorang anak perempuan seolah-olah mendidik sebuah negara," kata Dr. Siti Hasmah selepas menerima anugerah Kehormat Kedoktoran Pendidikan di Majlis Konvokesyen ke-13 Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.
Bekas isteri perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed itu menerima anugerah berkenaan daripada Canselor kedua MMU, Tun Zaki Tun Azmi yang juga bekas Ketua Hakim Negara.
Seramai 3,815 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah pada majlis itu.
0 comments:
Post a Comment